Tuesday, May 24, 2011

dulu dan kini......

Dulu kau baru ku kenali. Memang amat menjengkelkan. Segala percakapan dan tindak tandukmu membuatku merasa cukup rimas. Namun demi kerja dan aturan yang telah ditetapkan aku bersabar. Semua omelan dan teguran ku telan. Ada sampai satu ketika aku teramat meluat tetapi masih lagi bertahan. Padaku tidak akan sesekali aku mengalah itu hanya ujian yang sedikit. Masih banyak lagi cubaan dan dugaan yang berat-berat dan menduga pernah ku alami. Aku memang terpaksa bersabar dalam berurusan dengan dia . Memang dugaan lain pernah ku hadapi lagi berat namun kali ini memang terasa amat mencabar dan sedikit sebanyak menggoyahkan iman mudaku ini.

Pernah sekali aku menitiskan air mata selama dua hari. Aku dipermalukan dikhalayak ramai. Aku menahan sebak membuat muka selamba selama berhadapan dengan dia. Air mataku akhirnya tumpas juga saat ku kenang saat aku dimalukan. Terasa amat terhina apabila maruah aku dinjak-injak seperti kain buruk yang tiada nilai tara. Dua hari air mataku kering dek kerana dirinya seorang yang kukira waktu itu tidak layak dipanggil sahabat. Seorang sahabat akan melindungi dan menyayangi sahabatnya bukan melenyek maruah seorang sahabatnya dengan sewenang-wenangnya. Aku serik dengan dia. Aku melarikan diri seketika untuk menenangkan diri. Ramai yang menjadi mangsa aku melampiaskan rasa yang terbuku dihati. Aku merintih sendirian di dalam kamar meratapi nasib kenapa aku harus bertemu dengan dia. Puas aku meneliti dan mencari punca apa silap yang ku lakukan sehingga dia sanggup membuat aku sebegitu rupa.

Aku menjadi sangat pendiam dalam minggu tersebut. Aku yang sebelum ini seorang yang riuh rendah berubah menjadi seorang yang susah untuk tersenyum,bercakap mahupun bergurau senda. Kejadian yang menimpa aku saat itu benar-benar membuat aku kecewa dan menjadi stress. Aku merasa seperti orang yang tidak bermaruah. Aku gagal bangkit semula. Aku gagal menjadi orang yang tabah. Seringkali mengenangkan saat dipermalukan dikhalayak ramai laju air mata ini menuruni pipi. Aku tidak sekuat dulu. Aku gerun berhadapan dengan orang ramai lagi. Aku tidak mahu ketemu dia. Benar manusia melakukan kesilapan. Namun bagi aku itu teramat melampau aku memang tidak dapat menerimanya. Tidak mampu untuk memaafkannya. Hati ini cukup pilu.

Seorang temanku yang lain tidak putus-putus member kata-kata semangat kepadaku. Katanya hidup ini umpama sebuah perjalanan menuju destinasi. Dalam perjalanan kita telah terjumpa dengan kemalangan. Kita merasa sangat sedih dan ingin membantu sahabat yang kecelakaan. Namun kita harus meneruskan perjalanan kita kerana ia belum sampai. Kita meneruskan perjalanan lagi,dan telah terjumpa dengan sebuah taman bunga yang tersangat indah lalu kita singgah untuk menikmati suasana taman itu sebentar. Namun kita tidak boleh selama-lamanya berhenti disitu kerana perjalanan kita masih jauh dihadapan. Begitulah perumpamaan yang menarik yang diberikan oleh sahabat karibku. Dalam hidup ada turun naiknya. Sekali duka menjengah dan jangan bimbang kerana dalam kedukaan pasti akan diselangi dengan kegembiraan. Begitulah asam garam kehidupan. Mendengar kata nasihat daripada sahabat itu aku bangkit sedikit. Namun saki hati susah untuk diubati. Memakan masa yang agak lama.

Aku dalam paksa dan rela meneruskan agenda yang telah dirancang. Memang hati sakit setiap kali berhadapan dengan dia. Sangat sakit. Berbekalkan kata-kata semangat yang telah ditebarkan oleh rakan itu kepadaku aku mengendurkan amarahku kepadanya. Pelbagai cara juga yang diambil untuk memenangi kembali hatiku yang telah berdarah. Sekeras-keras kerak nasi kalau direndam air akan lembut juga akhirnya begitula juga dengan hati manusia. Aku berusaha memperbaiki diri walaupun luka itu masih berparut sehingga hari ini.

Aku duduk termenung sendirian dan memikirkan apa yang telah terjadi kepadaku. Banyak yang telah dia lakukan yang memang membuat aku sakit hati. Namun aku bertahan dan bertahan. Aku pendamkan perasaan tidak puas hati didalam sanubari sahaja. Pelahan-pelahan aku mampu mengawal emosi diri dan terus mengenali hati budinya. Kami terus bersahabat baik dan sehingga kini masih baik. Dia akan hadir tatkala aku memerlukan dan aku akan berusaha menenangkan dia apabila dia dirundum duka. Itulah sebenar-benar sahabat yang hadir tika suka dan duka.

Pernah terbaca di dalam sebuah petikan, sahabat yang baik adalah sahabat yang membuat temannya marah. Hal ini kerana , apabila temannya itu Berjaya mengawal amarahnya maka dia adalah seorang yang bersabar dan sentiasa berjaya mengawal emosi. Dia juga adalah seorang teman yang boleh menerima apa jua keadaan diri kita kerana kita membuat kerenah dan mengakibatkan dia marah semata-mata untuk menguji tahap kesabaran yang ada dalam dirinya. Itulah yang terjadi kepadaku. Dia membuat aku marah demi ingin menguji sejauh mana sifat kesabaranku. Susah pada awalnya untuk aku menerimanya namun aku tidak mampu untuk membalas perbuatannya dengan kelakuan tapi aku hanya bermohon doa kepada Allah. Sesungguhnya pada waktu itu aku memang teramat pilu dan sentiasa berdoa dan berdoa agar aku tabah. Alhamdulillah aku berjaya menangani perasaan benci itu.

Sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa mendorong temannya untuk melakukan kebaikan. Terima kasih sahabat kerana telah mengajar aku erti sabar. Walaupun banyak dugaan dan rintangan yang aku hadapi aku bersyukur kini aku lebih kuat dan mampu mengawal perasaan marah.

Terima kasih sahabat,

Syukran ya sadiqi

Kamsahamnida chingu

Dan semua ungkapan lain yang membawa maksud terima kasih sahabat. Inilah tanda penghargaan aku kepadamu sahabat yang berjaya membentuk aku dalam diam menjadi orang yang tabah.

Ukhuwah fillah Abadan abada. Semoga Allah memberkati apa yang jalinan persahabatan kita ini dan semakin akrab…Amin

Sekadar luahan menunjukkan aku teramat bersyukur mempunyai sahabat-sahabat seperti mereka….


No comments: